Saturday 4 December 2010

Hijrah

[ Bismillah.. ]

Alhamdulillah. Sebentar sahaja masa berlalu. Pejam celik, pejam celik. Tahun 1431H dan 2010M kian menutup tirainya. Umur pun sudah kian menganjak dewasa dan saat dijemput maut pun hampir tiba. Mari, kita selami qalbi. Adakah diri ini sudah suci dari dosa? Adakah iman di hati sudah seteguh para sahabat? Adakah akal ini sudah merancang idea sehebat Sultan Muhammad alFateh?Adakah jasad ini sudah ada yang terkorban dalam perjuangan menegakkan Islam? Adakah nafsu ini sudah mahu tunduk, patuh kepada Illahi? Pejamkan mata sejenak, beristighfar dan tekadkan di hati; ' Ya, Aku perlu berhijrah! Aku perlu berubah! '

Mahu berhijrah? Mari! Tetapi, acapkali hati menjadi ragu. Resah dan gelisah tidak menentu.

" Ish.. Macam mana nak mula ni? Tak susah ke? Apa rancangannya? Kena drastik ke? Apa jadi nanti? Mesti kawan-kawan kutuk dan perli... Aduh, payahnya.. "

Payah? Hijrah itu memang payah, kecuali buat orang yang ikhlas. Halangan? Ejekan? Perlian? Itulah adat, usah difikirkan. Kelak, kita yang binasa sedangkan, orang yang asyik mengutuk itu tersenyum gembira dan riang ria. Ingat, kita ialah hamba dan berTuhan. Mengadulah, bermohonlah agar kita dikurniakan petunjuk, hidayah, taufiq dan bimbingan dariNya. Kerana Allah itu Maha Berkuasa lagi Maha Perkasa. Tidakkah kita yakin?

Susah dan sesak ditimpa masalah dan musibah? Berdoalah kepadaNya.
Sulit memahami apa yang diajarkan ustaz dan ustazah ? Merayulah kepadaNya.
Sukar dalam satu-satu urusan? Mintalah pertolongan dariNya.
Bingung menghadapi kerenah guru, murid, ibu bapa,anak atau rakan? Mohonlah bantuanNya.
Hidup terasa payah? Sebutlah namaNya; Tuhan Sekalian Alam.
Bermunajatlah, selalu dan sentiasa.

Ya, kita [termasuk ana juga ] sering alpa bahawa segala yang berlaku di alam ini ditetapkan dan dikuasai oleh Allah. Maka, apa gunanya kita berasa resah dan gelisah untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan? Allah kan ada... Dia dekat, amat dekat. Dia mampu mengubah sesuatu dalam sekelip mata sahaja. Kita hanya perlu menadah tangan, merendahkan hati dan berdoa. Namun, jangan lupa untuk berusaha dan merancang strategi. Kerana what you give is what you get. Akhir kalam, " berusahalah untuk duniamu,seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Dan berusahalah untuk akhiratmu,seolah-olah kamu akan mati esok hari. "


" Dengan. semangat baru "
Jazamullahukhayrankathira,
:: MT Majlis Perwakilan Pelajar 2010/2011 ::

No comments: